Speeches


25/05/2017 - Konvensyen Kelestarian Kampus Hijau

 

Bismillahir rahmanir Rahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam Sejahtera, Salam Negaraku - Malaysia.

 

Yang dihormati saudara/saudari Pengacara Majlis,

 

YBhg. Datuk Mohamad Bin Mentek,

Ketua Setiausaha

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

 

YBhg. Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur,

Ketua Setiausaha

Kementerian Pengajian Tinggi;

 

 

YBhg. Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris,

Naib Canselor

Universiti Putra Malaysia;

 

YBhg. Dato’ Dr. Zulkapli Bin Mohamed,

Ketua Pegawai Eksekutif

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp);

 

Pegawai-pegawai kanan kerajaan, Pensyarah-pensyarah Kanan;

 

Wakil-wakil media dan Pertubuhan Bukan Kerajaan;

 

Para mahasiswa dan mahasiswi;

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

1.            Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan rahmat-Nya, kita dapat berkumpul bersama-sama di Konvensyen Kelestarian Kampus Hijau pada hari ini. Pertama sekali, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kerana menjemput saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Konvensyen Kelestarian Kampus Hijau ini.

 

2.            Syabas kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di atas usaha dan persiapan untuk menganjurkan konvensyen ini. Penganjuran konvensyen ini juga sudah tentu tidak akan berjaya tanpa sokongan dan komitmen yang tinggi daripada pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai tuan rumah. Syabas dan tahniah sekali lagi saya ucapkan.

 

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

 

Bumi yang tiada rimba

Seumpama hamba

Dia dicemar manusia

Yang jahil ketawa

 

Bumi yang tiada udara

Bagai tiada nyawa

Pasti hilang suatu hari

Tanpa disedari

 

3.         Bagi mereka yang tidak ingat kata-kata ini, ia dipetik daripada lirik lagu penyanyi terkenal Malaysia, Zainal, yang bertajuk “Hijau”. Walaupun lagu “Hijau” tersebut sudah menjadi “evergreen” malah menjangkaui usia saudara-saudari sekalian, namun mesej yang disampaikan kekal relevan pada hari ini. “This planet is our one and only home. We have no other choice – we must care for it”.

 

4.            Apabila kita menyentuh soal kelestarian alam sekitar, kita harus meneliti kemampanan sumber alam sekitar. Kita sedar bahawa dengan peningkatan jumlah penduduk dunia yang telah mencecah hampir 7.5 billion, sumber-sumber alam pada hari ini menjadi semakin terhad disebabkan aktiviti perindustrian dan aktiviti-aktiviti lain dalam meningkatkan tahap ekonomi negara-negara dunia. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) pada tahun 2011, penyumbang pencemaran kedua terbesar adalah pembebasan gas rumah hijau disebabkan oleh proses penguraian dan pembebasan gas metana dari pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal yang kurang efisien.

 

5.            Di samping itu, fenomena ini turut menjadi punca perubahan iklim yang boleh menyebabkan bencana alam seperti el Nino dan la Nina. Selain itu, pengurusan sisa pepejal yang tidak sempurna turut mengundang risiko kepada manusia melalui penularan penyakit berbahaya seperti kencing tikus, denggi, taun dan lain-lain serta pencemaran sumber air.

 

6.            Oleh yang demikian, negara kita perlu berpandangan jauh untuk memikirkan strategi dan pendekatan yang komprehensif bagi memastikan kelestarian alam sekitar demi kelangsungan kehidupan generasi seperti saudara-saudari akan datang. Kelestarian alam sekitar menyentuk aspek kehidupan masyarakat kita dari segi penggunaan sumber dan tenaga, cara kehidupan kita dan sebagainya.

 

7.            Dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), salah satu outcome yang ditetapkan adalah pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 40% menjelang tahun 2020.

 

8.            Bagi mencapai outcome ini, pengurusan sisa pepejal akan beralih kepada pendekatan 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle. Ini sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan dan pembinaan tapak pelupusan baharu. Dalam hal ini, Kerajaan telah mensasarkan untuk mengurangkan jumlah sisa pepejal sebanyak 40 peratus dan mencapai kadar kitar semula sebanyak 22 peratus menjelang tahun 2020.

Hadirin dan hadirat sekalian,

 

9.            Pengurusan sisa pepejal yang menyeluruh dan berkesan penting bagi kesinambungan kesejahteraan kehidupan manusia sejagat. Setiap tahun jumlah sisa pepejal yang terjana meningkat sekitar dua ke lima peratus (2% - 5%). Antara faktor penyumbang adalah pertambahan penduduk yang pesat dan perubahan cara hidup rakyat Malaysia. Selain itu, peningkatan jumlah sisa pepejal yang dijana setiap hari juga boleh mengurangkan jangka hayat tapak pelupusan dan meningkatkan kos pengurusan sisa pepejal.

 

10.          Selain daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, terdapat pelbagai agensi kerajaan yang turut terlibat untuk memastikan pengurusan sisa pepejal dibuat secara komprehensif dan mampan. Kita memberi tumpuan kepada pengurangan penggunaan sumber di peringkat pembuatan dan pengedaran, mengelakkan pembaziran di kalangan pengguna dan membantu meningkatkan kadar kitar semula produk-produk yang dihasilkan.

 

11.          Daripada segi infrastruktur dan penggunaan tenaga, pendekatan terkini adalah untuk menukar sisa pepejal kepada bentuk tenaga yang boleh digunapakai semula oleh pihak industri. Ini dipanggil sebagai Waste to Energy (WTE). Sehingga kini, di Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Bahru, fasiliti-fasiliti Waste to Energy (WTE) sedang dan akan dibangunkan.

 

 

12.          Setiap program kerajaan sudah pasti tidak akan memperoleh kejayaan sekiranya tidak mendapat sambutan atau sokongan daripada masyarakat awam. Program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (Communication, Education and Public Awareness - CEPA) yang melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk sektor swasta, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) dan masyarakat, perlu diperkukuh untuk meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar.

 

13.          Saya ada membaca artikel mengenai zero-waste lifestyle dan applikasi telefon pintar, ResQ. ResQ merupakan aplikasi yang membolehkan orang ramai membeli lebihan makanan daripada restoran-restoran di Kuala Lumpur pada harga yang lebih rendah. Pada bulan lepas, saya juga telah melancarkan kempen MYSaveFood untuk penjawat awam, bagi mengelakkan pembaziran makanan bukan sahaja di kalangan penjawat awam, tetapi juga kepada ahli keluarga mereka. Konvensyen hari ini, menjadi salah satu platform terbaik bagi perkongsian pengetahuan, kepakaran dan kerjasama dengan harapan kita dapat menyumbang masing-masing kepada kelestarian hijau. 

 

Hadirin dan hadirat sekalian,

 

14.          Peranan belia sangat penting dalam memacu corak kemajuan dan pentadbiran negara. Sememangnya kecemerlangan golongan muda merupakan kayu pengukur maju atau mundur sesebuah bangsa dan negara pada masa hadapan. Amalan membudayakan kebersihan untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar adalah antara aspek yang penting dalam menyediakan generasi muda sebagai pelapis kepimpinan negara ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera. Untuk itu, Program Kampus Hijau di Institusi Pengajian Tinggi harus diberikan pujian. Ia bukan sahaja dapat meningkatkan kelestarian persekitaran kampus malah ia juga dapat dikembangkan kepada komuniti di luar melalui pemindahan ilmu atau knowledge transfer.

 

15.          Saya juga ingin menggesa para mahasiswa dan mahasiswi untuk bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawanan kerana generasi tuan-tuan dan puan-puan yang akan mewarisi negara yang kita diami ini. Kerajaan ada menyediakan dana untuk program-program sedemikian menerusi Dana Sukarelawan 1Malaysia (Dre1m) yang boleh dipohon para mahasiswa menerusi iM4U outreach centres yang terletak di semua kampus universiti awam.

 

16.          Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada penerima Anugerah Kursi yang bakal diumumkan sebentar lagi. Ini merupakan pengiktirafan Kerajaan kepada Institusi Pendidikan Tinggi Awam di Malaysia yang mengungguli aspek kelestarian alam sekitar khususnya berkaitan pengurusan sisa pepejal. Saya berharap geran yang akan diterima dalam tempoh tiga tahun ini dapat digunakan sebaik mungkin. Bagi yang tidak terpilih dalam penganugerahan ini, diharapkan dapat terus berusaha untuk meningkatkan lagi amalan pembudayaan kebersihan persekitaran dan kitar semula secara lebih efektif dan berterusan ke tahap yang lebih membanggakan.

17.          Di kesempatan ini, saya juga ingin mengumumkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada International Solid Waste Association (ISWA) World Congress 2018. Kongres yang akan berlangsung selama tiga hari itu akan mengumpulkan lebih 1,000 delegasi dalam dan luar negara yang akan memfokuskan kepada amalan pengunaan lestari sebagai penyelesaian pengurangan sisa pepejal.

 

18.          Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada KPKT dan UPM di atas penganjuran konvensyen ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa bermula hujung minggu ini dan marilah kita bersama-sama mengamalkan budaya hijau dengan tidak membazir makanan semasa berbuka puasa. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Konvensyen Kelestarian Kampus Hjau.

 

Sekian terima kasih.

Wabillahi taufiq wal hidayah,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.