Speeches


08/04/2017 - Pelancaran Ekspresi Negaraku di Dataran Amanjaya, Sungai Petani, Kedah

BismillahirRahmanirRahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Yang Berhormat Dato’ Paduka Haji Bakar bin Din

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman

 

Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Pegawai - pegawai Kanan Kerajaan dan Negeri,

 

Tuan - tuan dan puan - puan, rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

 

PENDAHULUAN

1.              Alhamdulillah, segala puji-pujian dan rasa syukur dirafakkan ke hadrat Allah SWT, kerana dengan keizinan dan rahmatNya jua, maka kita berpeluang untuk sama-sama berkumpul di Perkarangan Amanjaya pada pagi ini dalam Majlis Ekspresi Negaraku.

 

2.              Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kehadiran saudara-saudari sekalian ke sambutan pada pagi ini. Saya berasa amat teruja dengan sambutan yang sangat menggalakkan daripada saudara-saudari sekalian, yang kelihatan begitu bersemangat sejak pagi tadi dengan pelbagai aktiviti yang telah dijalankan.

 

3.              Saya lihat ramai yang datang ke Amanjaya pada pagi ini. Nampaknya sambutan dari orang Kedah pun tidak kurang hebatnya untuk Majlis ini.

 

4.              Pelbagai aktiviti telah berlangsung sebelum kehadiran saya pagi ini. Saya difahamkan aktiviti-aktiviti ini telah bermula seawal jam 8 pagi, dengan larian Negaraku dan sesi senamrobik Fit Malaysia. Pihak urus setia telah memaklumkan saya bahawa larian Negaraku telah disertai oleh 3000 orang peserta.

 

5.              Kehadiran saudara-saudari pada pagi ini begitu bermakna. Di kala orang lain sedang lena tidur di rumah, saudara-saudari telah datang bersama untuk majlis hari ini. Kehadiran saudara-saudari hari ini membuktikan rasa cinta dan sokongan yang sangat tinggi terhadap ‘Negaraku’, iaitu Malaysia.

 

6.              Berkumpulnya kita semua pada hari yang begitu indah ini merupakan bukti perpaduan, keharmonian dan keamanan tanahair tercinta ini, iaitu Malaysia,... Tanah Tumpahnya Darahku.

 

 

 

NEGARAKU: TANAH TUMPAHNYA DARAHKU

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

 

7.              Seperti yang saudara-saudari sedia maklum, pada 18 Mac yang lalu, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan program ‘Ekspresi Negaraku’ di Putrajaya. Lebih 20 ribu rakyat Malaysia telah bersama dengan YAB Perdana Menteri di dalam majlis tersebut. Saya juga telah hadir bersama pada majlis tersebut dan

8.               saya dapat merasakan suasana yang begitu bersemangat dan meriah sama seperti yang saya rasakan hari ini di Amanjaya.   

 

9.              Semasa majlis pelancaran, YAB Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa inisiatif ‘Ekspresi Negaraku’ [DCYKY2] ini merupakan salah satu usaha dan platform untuk rakyat Malaysia bersatu hati serta menyemai rasa bangga dan semangat patriotisme cintakan negara.

 

10.           Melaluinya, kita mahu menerap dan bangkitkan semula semangat jatidiri kita semua sebagai rakyat Malaysia di semua peringkat hingga ke akar umbi. Jika jatidiri bangsa dan kekentalan ini teguh, maka akan kukuhlah negara kita.

 

11.           Dengan itu, kita telah memilih ‘Negaraku’ sebagai slogan kita. Perkataan yang begitu mudah tetapi mempunyai maksud dan hasrat yang begitu mendalam dan bermakna. Melalui ‘Negaraku’, kita berhasrat untuk sematkan di dalam hati setiap rakyat bahawa Malaysia ini adalah milik kita bersama.

 

12.           Sebagai rakyat Malaysia, kitalah yang bertanggungjawab untuk menjaga, memelihara dan memastikan negara ini sentiasa aman, makmur dan sentosa.

 

13.           Majlis pada hari ini merupakan yang kedua diadakan selepas Majlis Pelancaran oleh YAB Perdana Menteri pada 18 Mac lepas. Tentunya Sungai Petani begitu bertuah kerana dipilih sebagai lokasi yang kedua. Kita berhasrat untuk menjelajah di setiap negeri di Malaysia agar sebanyak mungkin rakyat dapat bersama meraikan semangat cintakan ‘Negaraku’. Jadi, nantikan kedatangan majlis ‘Ekspresi Negaraku’ di bandar-bandar terdekat anda tidak kira di mana jua anda berada di Malaysia.   

 

 

RAKYAT MALAYSIA BERSATU

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

14.           Malaysia merupakan negara yang begitu unik dalam dunia ini. Kita hidup dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama dalam suasana harmoni. Di negara lain, kita lihat persengketaan berlaku antara kaum dan agama. Malah, ada juga yang berperang sesama mereka yang seagama tetapi berbeza pendapat.

 

15.           Begitu lain sekali suasana di Malaysia. Kita amat bertuah kerana kita menyambut perbezaan sesama kita. Kita menyambut pelbagai perayaan agama dan bangsa. Ya, kadangkala berlaku salah faham kecil tetapi perkara-perkara ini tidak pernah memecahkan hubungan sesama kita. Demi memastikan kejayaan Negaraku tercinta ini, saya mengajak saudara-saudari semua untuk ketepikan perselisihan antara kita. Marilah kita bersama-sama memajukan Malaysia, ibu pertiwi kita yang indah ini.

 

16.           Lebih 1.6 juta rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang dan kepercayaan menganggotai sektor perkhidmatan awam. Namun, kami bergerak sebagai satu pasukan demi memastikan segala apa yang dijanjikan Kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat dengan baik.    

 

INISIATIF KERAJAAN

17.           Kerajaan yang dipimpin oleh YAB Perdana Menteri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran Negara ini. Antaranya adalah Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

 

18.           Pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau National Blue Ocean Strategy (NBOS) telah diperkenalkan sebagai satu pendekatan kreatif baharu untuk memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada di pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan. NBOS menekankan kepada prinsip impak tinggi, kos rendah, pelaksanaan pantas dan mampan dalam program-program pembangunan negara.

 

19.           Antara projek-projek NBOS yang memberi impak yang tinggi adalah penubuhan Pusat Transformasi Bandar atau UTC. Saya pasti ramai di antara saudara-saudari di sini yang pernah berkunjung ke UTC di mana pelbagai perkhidmatan disediakan di bawah satu bumbung 7 hari seminggu dari jam 8 pagi – 10 malam. Di Kedah sahaja, ada 2 UTC iaitu di Alor Star dan di Sungai Petani.

 

20.           Inisiatif-inisiatif seperti UTC ini disediakan bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik. Dalam hal ini, penjawat awam memainkan peranan yang amat penting demi memastikan semua dasar dan perancangan Kerajaan dilaksanakan dengan baik. Ini merupakan sumbangan mereka kepada Negara.

 

21.           Namun, anda tidak perlu berkhidmat sebagai penjawat awam untuk menzahirkan rasa cinta kepada Negara. Setiap orang rakyat Malaysia menyumbang kepada Negara dalam pelbagai bentuk dan sumbangan. Ini dapat dilihat melalui kerja yang dilakukan yang meningkatkan produktiviti Negara, melalui perniagaan yang menambahbaik ekonomi Negara mahu pun aktiviti-aktiviti yang membantu dan memanfaatkan rakyat lain. Sumbanglah kepada Negaraku ini melalui aktiviti-aktiviti positif yang membawa kebaikan kepada diri anda dan mereka di sekeliling anda.

 

BERSAMA MENGHADAPI RINTANGAN

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

 

22.           Tahun ini merupakan ulangtahun ke-60 sejak kemerdekaan kita pada tahun 1957. Banyak cabaran dan rintangan yang telah dilalui oleh Negara untuk sampai kepada tahap kita sekarang. Jika tidak kerana rakyat Malaysia telah bersatu dalam menghadapi pelbagai rintangan dan halangan tersebut, tidak mungkin kita berada dalam keadaan ekonomi yang baik yang kita nikmati sekarang.

 

23.           Kita melihat dalam masa yang terdekat ini, terdapat pelbagai pihak yang cuba menggugat dan memecah-belahkan hubungan sesama kita. Pihak-pihak ini sanggup bertindak untuk memburukkan dan menjejaskan ekonomi Negara demi kepentingan diri mereka sendiri. Pelbagai tuduhan dan penipuan telah disebarkan untuk menggugat kemakmuran yang sedang kita nikmati sekarang.

 

24.           Segala asas-asas perpaduan yang telah dibina sejak 1957 boleh hancur dalam sekelip mata jika kita terus membiarkan sesetangah pihak untuk meneruskan agenda peribadi mereka. Pihak-pihak ini tidak akan berhenti untuk menggagalkan dan menyekat usaha-usaha baik yang telah dibuat oleh Kerajaan.

 

25.           Namun, saya menyeru kepada saudara dan saudari sekalian untuk terus bersatu dan utuh demi Malaysia. Ingatlah bahawa negara ini adalah milik kita bersama dan jatuh bangunnya Negara ini bergantung kepada tindak tanduk kita sendiri. Saya ingin merayu kepada semua agar kita tidak mudah terpedaya dan terus fokus kepada objektif kita untuk terus memakmurkan Negara yang tercinta ini.      

 

PENUTUP

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

26.           Marilah kita bersama-sama menuju ke hadapan. Dalam masa 3 tahun, kita akan mencapai tahun 2020 dan insya-Allah kita dalam momentum yang baik untuk mencapai apa yang telah kita sasarkan pada tahun tersebut. Namun, perjalanan kita tidak berakhir pada tahun 2020.

 

27.           Transformasi Nasional 2050 atau TN50 adalah aspirasi kita bersama untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2050. Dari sebuah negara maju, kita harus menyasar untuk menjadi antara 20 negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi.

 

28.           Pada bulan Januari yang lepas, YAB Perdana Menteri telah memulakan sesi townhall pertama di Universiti Malaya bagi mendapatkan maklumbalas dari golongan belia tentang harapan mereka untuk TN50. Seterusnya, lebih banyak lagi sesi-sesi seperti ini yang akan dianjurkan di seluruh Negara untuk mendapatkan idea dan input rakyat untuk TN50.

 

29.           Sasaran TN50 ini sebenarnya adalah milik kita semua. Dengan itu, saya mengajak anda semua untuk kongsikan pendapat dan idea tentang harapan dan visi anda bagi tahun 2050.Terdapat pelbagai segmen di bawah TN50, dan ‘Ekspresi Negaraku’ ini merupakan salah satu daripada pengisiannya.

 

30.           Seperti yang telah saya maklumkan tadi, program ‘Ekspresi Negaraku’ ini akan terus menjelajah ke seluruh Negara pada minggu-minggu yang akan datang ini. YAB Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan pucuk kepimpinan Kerajaan akan bersama dengan rakyat dalam sesi-sesi ini bagi menyemarakkan lagi semangat Negaraku tercinta ini.   

 

31.           Akhir sekali, dengan lafaz BismillahirRahmanirRahim, saya merasmikan program ‘Ekspresi Negaraku’.

 

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.           

 

Sekian, terima kasih.