Speeches


05/04/2017 - Kempen MySavefood Untuk Penjawat Awam

 

Y.Bhg Tan Sri/Datuk Seri/Dato’/Tuan/Puan,

Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh,

Salam sejahtera, Salam Negaraku - Malaysia

 

1.           Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat bersama-sama dalam majlis pelancaran kempen MYSaveFood untuk penjawat awam.

 

2.           Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) khususnya kepada Yang Berbahagia Datuk Seri Ismail Hj Abu Bakar, Ketua Setiausaha kerana telah memulakan inisiatif kempen MySaveFood sejak tahun 2016. Inisiatif ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuklah kita sebagai penjawat awam.

 

3.           Kempen MYSaveFood ini adalah berhubungkait rapat dengan keperluan asas paling penting kepada manusia iaitu makanan. Dalam memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan mampu diperolehi, pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan oleh semua pihak khususnya oleh kerajaan. Menurut statisik dari Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO), lebih kurang 21,000 orang meninggal dunia setiap hari akibat kebuluran dan kelaparan. Sementara itu, 795 juta orang atau 10 peratus daripada penduduk dunia menghadapi masalah kekurangan zat.

 

 

Y.Bhg Tan Sri/Datuk/Dato’/Tuan/Puan,

 

4.           Satu pertiga dari makanan yang dihasilkan hilang atau dibuang di sepanjang rantaian penghasilan “from farm to table”.  Dunia menghasilkan kira-kira 1.3 billion tan matrik sisa organik dengan anggaran kerugian sebanyak RM4.4 trillion setahun. Di Malaysia kita bersyukur kerana bekalan makanan sentiasa mencukupi dan boleh diperolehi sepanjang masa. Walau bagaimanapun, masalah pembaziran makanan memerlukan perhatian kita semua. Adalah dianggarkan sebanyak 15,000 tan matrik sisa organik dan makanan dibuang di tapak pelupusan setiap hari. Amaun ini mampu menghasilkan 9,000 tan matrik baja kompos untuk 45,000 pokok atau 3,000 hektar ladang pertanian. Daripada 15,000 tan matrik dari jumlah sisa buangan berkenaan, lebih kurang 3,000 tan matrik adalah terdiri daripada makanan yang masih boleh dimakanSisa ini boleh menyediakan makanan (3) kali hidangan sehari untuk seramai kira-kira 2.0 juta orang. Jika angka ini diterjemahkan kepada jumlah berbelanjaan, sebanyak RM6 juta ringgit dibazirkan setiap hari. Pembaziran ke atas makanan perlu dihentikan dengan segera.

 

5.           Dalam memastikan sikap menghargai makanan menjadi satu budaya yang positif di kalangan rakyat Malaysia, Kempen MYSaveFood yang dikhususkan untuk penjawat awam akan dilancarkan pada hari ini.  Saya memberikan sokongan yang penuh kepada kempen MYSaveFood ini dan menggesa semua penjawat awam untuk turut sama melaksanakannya di peringkat kementerian masing-masing.

 

6.           Saya amat berharap agar semua kementerian dapat merancang serta menerapkan kempen MYSaveFood ini dalam semua aktiviti di bawah seliaan Kementerian masing-masing secara berterusan dan terancang termasuk kepada golongan sasar seperti murid-murid sekolah, pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi, golongan belia dan anggota beruniform.

 

7.           Selepas pelancaran ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu terus membuat engagement agar kempen ini dilaksanakan di semua kementerian dengan kadar yang segera. Saya meminta agar semua Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua-ketua Perkhidmatan dapat memberikan kerjasama yang sepenuhnya dan menyokong inisiatif MOA ini. 

 

8.           Insya-Allah, saya berkeyakinan dengan usaha yang dilaksanakan kelak, Malaysia akan dapat mencapai matlamat FAO untuk mengurangkan separuh dari pembaziran makanan menjelang tahun 2030.

 

Dengan lafaz Bismilahirahman nirrahim, saya melancarkan Kempen MYSaveFood untuk penjawat awam.