Speeches


28/03/2017 - Majlis Perasmian Kompleks Kakitangan Awam (KKKA) Jalan Cochrane

 

Bismillahir rahmanir rahim,

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

 

Salam Sejahtera dan Salam “Negaraku Malaysia”.

 

Yang Dihormati Saudari Pengacara Majlis;

 

Yang Berbahagia Dato’ Sri Zainal Rahim bin Seman,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Othman bin Haji Mahmood,

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri;

 

Yang Berbahagia Datuk Seri Adnan bin Haji Md Ikshan,

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan;

 

Yang Berbahagia Datuk Seri Mhd. Amin Nordin bin Abd. Aziz,

Datuk Bandar Kuala Lumpur;

 

 

Yang Berbahagia Datuk Mohammad Bin Mentek,

Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

 

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Datuk Seri–Datuk Seri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

 

PENDAHULUAN

 

1.           Alhamdulillah, kerana dengan izin dan limpah kurnia Allah S.W.T, kita dapat berkumpul pada majlis petang ini di Dewan Serbaguna, Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA) Jalan Cochrane.

 

PEMBINAAN KKKA JALAN COCHRANE

 

2.           Sesungguhnya saya cukup gembira pada petang ini kerana 896 unit kuarters Kelas G telah berjaya disiapkan untuk kemudahan penjawat awam, khususnya di kalangan Kumpulan Pelaksana yang bertugas di sekitar Kuala Lumpur. Kompleks kediaman ini yang dibina oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera dengan kos RM220 juta adalah setanding dengan projek-projek perumahan apartmen lain yang ada di Bandaraya Kuala Lumpur.

 

3.           Antara kemudahan yang disediakan di dalam pembangunan kompleks kediaman ini adalah:

 

                 i.        8 unit kuarters Orang Kelainan Upaya (OKU);

                ii.        sebuah dewan serbaguna berkapasiti 500 orang yang sedang kita gunakan ini;

               iii.        surau yang mampu memuatkan 300 orang jemaah;

              iv.        taska;

               v.        tadika;

              vi.        taman permainan kanak-kanak; dan

             vii.        ruang kemudahan meletak kenderaan, termasuk untuk warga OKU dan motosikal.

 

4.           Untuk makluman pada hadirin juga, satu stesen MRT akan dibangunkan berhampiran kompleks kediaman ini. Dengan adanya kemudahan MRT tersebut, ia dapat memudahkan pergerakan para penghuni ke sekitar Kuala Lumpur.

 

5.           Penghuni-penghuni Kompleks Kediaman Kakitangan Awam ini hanya membayar sewa pada kadar harga yang jauh lebih rendah dari harga pasaran. Ini dilaksanakan melalui potongan elaun bulanan seperti yang telah ditetapkan manakala kos penyelenggaraan pula ditanggung sepenuhnya oleh pihak Kerajaan.

 

6.           Sebagai perbandingan, penghuni kuarters di sini hanya dikenakan potongan elaun sebanyak RM377 setiap bulan untuk mendiami sebuah unit apartmen 3 bilik tidur dan 2 bilik air yang berkeluasan 1,000 kaki persegi, berbanding harga sewaan di pasaran Kuala Lumpur untuk unit yang serupa mencecah RM1,100 sebulan.

 

KERAJAAN PRIHATIN TERHADAP KEBAJIKAN RAKYAT

 

Hadirin dan hadirat sekalian,

 

7.           Pada 15 Mac baru-baru ini, YAB Perdana Menteri telah menyerahkan kunci kepada 658 orang penghuni 1Razak Mansion yang baru disiapkan. Penghuni-penghuni akan dapat menikmati apartmen baru dengan 3 bilik tidur, lengkap dengan kemudahan-kemudahan asas berbanding Razak Mansion yang lama. Maka pada hari ini pula, pembangunan semula Kompleks Kediaman Kakitangan Awam Jalan Cochrane, merupakan satu lagi testimoni dan komitmen Kerajaan yang sentiasa peka dan mengutamakan kebajikan rakyat di negara ini, khususnya penjawat awam.

 

8.           Saya berharap semua pihak dapat bersama-sama berganding bahu dalam menjaga dan mengurus kompleks kediaman ini dengan baik agar warga kuarters dapat menikmati kehidupan yang selesa, harmoni dan sejahtera. 

 

 

 

PEMBINAAN RUMAH MAMPU MILIK

 

Hadirin dan hadirat sekalian,

 

9.           Kerajaan sedar dan memahami bahawa penyediaan kuarters hanyalah sebagai satu mekanisma sementara bagi membantu penjawat awam mengurangkan kos sara hidup. Penyelesaian jangka panjang adalah dengan membantu penjawat awam membeli sendiri rumah agar dapat dijadikan tempat tinggal selepas persaraan nanti. Sebelum ini, saya melihat ramai penjawat awam yang menetap di kuarters sepanjang kerjaya mereka dan akhirnya, tidak memiliki rumah semasa mencapai umur persaraan.

 

10.       Sehubungan dengan itu, Kerajaan telah meletakkan penyediaan perumahan mampu milik sebagai salah satu agenda utama di dalam Rancangan Malaysia Ke-11. Ini bagi memastikan rakyat di setiap peringkat pendapatan mampu untuk memiliki rumah kediaman sendiri. Bagi mencapai dasar tersebut, Kerajaan telah memperkenalkan beberapa program rumah mampu milik seperti Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan sebagainya.

 

11.       PPA1M yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri sejak tahun 2013 merupakan program khusus untuk membantu penjawat awam memiliki rumah sendiri. Putrajaya bakal membangunkan 17,530 unit PPAIM bagi Fasa pembangunan 1, 2 dan 3. Semalam, YAB Perdana Menteri telah menyerahkan kunci kepada 1,943 penghuni bagi 2 projek PPA1M Putrajaya yang telah siap iaitu Larai (1,680 unit) dan Palma (263 unit). 

12.       Secara keseluruhannya, 200,000 unit rumah PPA1M akan dibina di seluruh Negara. Terdapat projek PPA1M di setiap Negeri dan saya menjemput hadirin semua untuk melayari laman web PPA1M untuk memohon unit-unit kediaman yang ditawarkan. Sehingga kini, kita telah menerima sejumlah 107,320 permohonan bagi 41,864 unit rumah yang ditawarkan. Ini menunjukkan terdapat permintaan yang tinggi terhadap unit-unit kediaman PPA1M.

 

13.       Sebagai tanda komitmen Kerajaan dalam usaha meningkatkan pemilikan rumah sendiri oleh penjawat awam, Kerajaan telah mengumumkan kenaikan kelayakan minima pinjaman perumahan daripada RM120,000 kepada RM200,000 dan pinjaman maksimum daripada RM600,000 kepada RM750,000 semasa ucapan Bajet Tahun 2017.

PENJAWAT AWAM PERLU BERSYUKUR DENGAN KEMUDAHAN DAN INSENTIF KERAJAAN

 

 

Hadirin dan hadirat sekalian,

 

14.       Kerajaan sebenarnya telah memperkenalkan banyak dasar-dasar yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya penjawat awam. Dasar-dasar ini membantu untuk meningkatkan mutu hidup kita semua dan merangkumi pelbagai aspek keperluan seperti perumahan, kos sara hidup dan pengangkutan awam.

 

15.       Setelah apa yang telah disediakan oleh Kerajaan untuk rakyat dan penjawat awam, saya ingin menggesa para penjawat awam, untuk menumpukan usaha dalam menyokong Kerajaan. Kita perlu menyokong Kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan awam kepada rakyat. Kita perlu menyokong Kerajaan dalam meningkatkan produktiviti dan merealisasikan harapan Kerajaan untuk rakyat. Janganlah kita bertindak dan bersikap ‘kacang lupakan kulit’. Jangan kita terpengaruh dengan dakyah-dakyah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan Kerajaan.

 

16.       Kita sebagai penjawat awam perlulah menghargai usaha Kerajaan yang telah menyediakan pelbagai peluang kemudahan dalam membantu meningkatkan taraf hidup penjawat awam.

 

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sukacita saya merasmikan Kompleks Kediaman Kakitangan Awam Jalan Cochrane pada hari ini.

 

Sekian, wabillahitaufik walhidayah.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.