Speeches


02/03/2017 - Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Dengan Penjawat Wanita Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA)

 

Bismillahir rahmanir rahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

 

Yang dihormati saudara/saudari Pengacara Majlis,

 

YBhg. Tan Sri Dr. Noorul Ainur binti Mohd. Nur 

Ketua Setiausaha

Kementerian Pengajian Tinggi

 

YBhg. Dato’ Sri Dr. Sharifah Zarah binti Syed Ahmad

Ketua Setiausaha

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia

 

YBhg. Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi binti Yusoff

Ketua Pengarah

Unit Perancang Ekonomi

 

YBhg. Datuk Hasanah binti Abd Hamid

Ketua Pengarah Penyelidikan

 

YBhg Dato’-Dato’ dan Puan-Puan yang diraikan pada hari ini.

 

PENDAHULUAN

 

1.           Terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana di atas limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama pada majlis tengah hari ini.

 

2.           Saya merasa amat gembira dan berbangga dapat bertemu dengan saudari-saudari semua pada hari ini. Pertemuan pada hari ini bukan sahaja signifikan daripada segi kemajuan yang telah dicapai oleh golongan wanita tetapi juga sebagai meraikan sumbangan golongan wanita dalam pembangunan Negara (nation building) sehingga hari ini. Tahniah kepada saudari semua kerana telah membuktikan bahawa wanita juga boleh mencapai kejayaan dan memegang jawatan-jawatan utama dalam perkhidmatan awam.

 

3.           Ucapan tahniah juga buat 23 orang yang akan menerima surat kenaikan pangkat pada hari ini. Semoga kejayaan ini akan memberikan anda semangat baru untuk terus menyumbang dengan cemerlang kepada perkhidmatan awam.

 

4.           Untuk makluman semua, sehingga kini terdapat 57.5 peratus wanita yang sedang berkhidmat dalam perkhidmatan awam, tidak termasuk polis dan tentera. Golongan wanita kini mewakili 35.6 peratus dalam kumpulan pengurusan tertinggi. Jumlah ini melebihi sasaran 30 peratus yang ditetapkan oleh Kerajaan, dan ia membuktikan bahawa kegigihan kita dalam merealisasikan matlamat tersebut berhasil.

 

Saudari-saudari yang saya hormati sekalian,

 

PERANAN YANG LEBIH DALAM KEPIMPINAN PERKHIDMATAN AWAM

 

5.           Pada awal tahun ini, YAB PM telah memulakan sesi ‘engagement’ bagi Transformasi Nasional 2050 atau TN50. YBhg. Tan Sri Dr. Noorul ada menyebut tentang TN50 sebentar tadi. TN50 ini merupakan dasar jangka panjang yang akan dirangka berdasarkan aspirasi generasi muda hari ini dan menjadi landasan kita menuju 2050. Segmen golongan wanita telah pun dikenalpasti sebegai salah satu fokus utama dalam TN50.

 

6.           Dalam hal ini, peranan golongan wanita dalam perkhidmatan awam tentunya antara perkara yang perlu diteliti menjelang 2050. Di masa akan datang, terdapat keperluan untuk meningkatkan lagi jumlah wanita dalam pengurusan tertinggi sektor awam. Perkara ini menggambarkan keadaan semasa di universiti-universiti tempatan di mana jumlah wanita melebihi golongan lelaki.

 

2017– TAHUN PENYAMPAIAN

 

Saudari-saudari yang saya hormati sekalian,

 

7.           YAB Perdana Menteri telah mengumumkan tahun 2017 merupakan ‘Year of Delivery’. Ini bermaksud kita perlu deliver, deliver, deliver! Tidak ada cara lain untuk berbuat demikian kecuali jika kita fokus kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih jitu. YAB Perdana Menteri juga telah mengingatkan supaya penjawat awam mengikis pemikiran atau ‘mind-set’ untuk bekerja secara berasingan atau dikatakan ‘silo mentality’.

 

8.           Daripada segi penyampaian, saya amat yakin golongan wanita dapat melaksanakan perkara ini dengan baik. Hakikatnya, golongan wanita mempunyai sifat ‘empathy’ yang amat tinggi berbanding lelaki. Ini harus digunakan dengan sebaiknya dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Ini adalah selaras dengan prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam dan inisiatif-inisiatif seperti ‘Search and Serve’ perlu dipergiatkan dengan lebih aktif pada tahun ini.   

 

9.           Oleh yang demikian, kita perlu mengambil tindakan untuk menambahbaik cara kita menyampaikan perkhidmatan kepada orang awam.

 

PENUTUP

 

Saudari-saudari yang saya hormati sekalian,

 

10.       Akhir kata, saya menyeru saudari-saudari sekalian untuk fokus kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih jitu untuk rakyat, menyokong Kerajaan dalam mempertingkatkan produktiviti, dan mengukuhkan imej sektor awam sebagai sektor utama dalam memacu pembangunan Negara.

 

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.