Speeches


26/02/2017 - Majlis Penutup Pertandingan Boling Piala Ketua Setiausaha Negara dan Pertandingan Boling Persahabatan Pesara 2017

 

Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

 

Yang Dihormati Saudari Pengacara Majlis

 

Yang Berbahagia Puan Sri Datuk Rohani Abdullah
Yang DiPertua PUSPANITA Kebangsaan

 

Ahli-Ahli  Majlis Tertinggi dan Jawatankuasa Kerja Tertinggi PUSPANITA

 

Ahli-ahli PUSPANITA

Pegawai-pegawai kanan dan seterusnya para peserta Pertandingan Boling Piala KSN dan Pertandingan Boling Persahabatan Pesara Tahun 2017.

 

PENDAHULUAN

 

1.           Alhamdulillah, kerana dengan izin dan limpah Allah S.W.T, kita dapat berkumpul untuk Pertandingan Boling Piala KSN dan Pertandingan Boling Persahabatan Pesara Tahun 2017 pada hari ini. Acara ini dianjurkan secara bersama oleh PUSPANITA Kebangsaan, Biro-Biro Sukan, Kesihatan, Kebajikan dan Pesara, serta Tabung Latihan PUSPANITA yang disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

2.           Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, semua pemain dan tetamu yang hadir bagi memeriahkan pertandingan boling pada hari ini. Komitmen dan penglibatan saudara dan saudari sekalian yang datang dari seluruh Malaysia, terutamanya pesara-pesara untuk menjayakan pertandingan pada hari ini amat dihargai dan syabas saya ucapkan.

 

KEPENTINGAN BERSUKAN

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

3.           Program pada hari ini amat tepat dan bersesuaian dalam mencungkil bakat – bakat dalam bidang sukan yang boleh menaikkan nama PUSPANITA dan Negara. Saya menyokong usaha – usaha menggerakkan aktiviti berbentuk kecergasan seumpama ini selain dapat merapatkan hubungan silaturahim di antara kita semua. Sesungguhnya pertandingan persahabatan yang melibatkan para pesara merupakan satu platform yang baik supaya para pesara masih boleh berhubung dan mengekalkan hubungan baik dengan penjawat awam yang sedang berkhidmat.

 

4.           Semoga semangat kesukanan ini tidak hanya terbatas dalam bentuk atau platform seperti pertandingan, malah ia seharusnya dijadikan aktiviti seharian atau kegiatan riadah bersama dengan ahli keluarga yang tercinta. Saya berharap dengan adanya semangat kesukanan ini, ia bukan sahaja akan dapat memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan kita malah akan memberikan keyakinan dan kesihatan yang baik untuk kita terus berkhidmat dengan lebih produktif.

 

PERTANDINGAN BADMINTON PIALA YANG DIPERTUA PUSPANITA & KARNIVAL SUKAN TAHUNAN PUSPANITA

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

5.           Saya difahamkan, pada hari ini juga Pertandingan Badminton Piala Yang DiPertua PUSPANITA sedang diadakan serentak di Dewan Serbaguna Presint 11, Putrajaya di mana Pertandingan Badminton ini telah diperkenalkan pada tahun lepas.

 

6.           Malah pada hari semalam, Karnival Sukan Tahunan PUSPANITA telah berjaya dianjurkan dengan jayanya di Kompleks Serbaguna, Presint 11 dan juga Kompleks Sukan Pancarona, Presint 18. Karnival ini telah melibatkan hampir 1,000 peserta bagi pelbagai pertandingan seperti futsal, bola jaring, aerobikton, indoor games dan sukaneka kanak-kanak. Syabas dan Tahniah saya ucapkan.

 

SEMANGAT BERPASUKAN

 

Hadirin yang dihormati sekalian,
 

7.           Saya amat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh para  peserta dalam menjayakan kesemua program selama dua hari ini. Kemenangan bukanlah segala – galanya, tetapi semangat kesukanan dan ikatan persaudaraan antara kita semua adalah penting dalam mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan bersama.

 

8.           Saya juga berharap agar pertandingan sebegini membuka ruang dan peluang kepada mana – mana pihak untuk menjalin kerjasama strategik bersama PUSPANITA pada masa akan datang.

 

PENUTUP

9.           Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya kepada pihak penganjur di atas kejayaan penganjuran pertandingan boling ini. Tahniah saya ucapkan kepada para pemenang dan kepada mereka yang tidak berjaya, jangan putus asa dan berusaha lagi pada tahun hadapan.

 

10.       Dengan lafaz Bismillahir-Rahmanir-Rahim, sukacitanya saya merasmikan penutupan Pertandingan Boling Piala KSN dan Pertandingan Boling Persahabatan Pesara Tahun 2017 pada hari ini.

 

Sekian, terima kasih.

Wabillahittaufik walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarak