News Highlights


08/04/2017 - Bersatu Hadapi Cubaan Gugat Kemakmuran Negara

SUNGAI PETANI, 8 April -- Rakyat diminta supaya terus bersatu menghadapi cubaan pihak tertentu yang ingin menggugat kemakmuran serta memburukkan ekonomi negara demi kepentingan sendiri.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata pihak tertentu ini tidak akan berhenti untuk menyekat dan menggagalkan usaha kerajaan memakmurkan negara, termasuk dengan mendakwa negara sudah muflis.

Katanya, tuduhan negara muflis itu sama sekali tidak berasas berikutan prestasi negara kini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

"Mereka tidak akan berhenti untuk menggagalkan dan menyekat usaha baik yang dibuat oleh kerajaan. Jadi, saya merayu supaya kita tidak mudah terpedaya dan fokus kepada objektif kita untuk terus memakmurkan negara.

"Apatah lagi kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan rakyat dengan mengambil kira segala pembangunan yang dicapai hendaklah dinikmati oleh rakyat," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Ekspresi Negaraku di pekarangan Amanjaya Peringkat Negeri Kedah, di sini, tadi.

Ali berkata, pertumbuhan ekonomi negara adalah memberangsangkan walaupun dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu kini dengan Malaysia mencapai tahap 4.2 peratus tahun lalu.

Katanya, pada 2017 pula, Bank Negara mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang di antara 4.3 dan 4.8 peratus.

"Jadi saya yakin unjuran ini boleh dicapai berasaskan usaha padu kerajaan, perkhidmatan awam dan rakyat," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian Wharton School of the Universiti of Pennsylvania, Malaysia adalah negara paling digemari oleh pelabur di dunia.

Katanya, keyakinan pelabur terhadap negara semakin meningkat berikutan keyakinan ditunjukkan negara luar dan pemimpinnya terhadap Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

-- BERNAMA