Media Statements


03/04/2017 - Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Xv Sultan Muhammad V Dan Hari Kelepasan Am Tambahan Bagi Seluruh Negara Pada Isnin, 24 April 2017

 

ISTIADAT PERTABALAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XV SULTAN MUHAMMAD V DAN HARI KELEPASAN AM TAMBAHAN BAGI SELURUH NEGARA PADA ISNIN, 24 APRIL 2017

...............................................................................................................

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah pun dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XV pada hari Selasa 13 Disember 2016 menggantikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV Almu’tasimu Billahi Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah yang telah tamat tempoh pemerintahan Baginda pada 12 Disember 2016 yang lalu.

 

2.      Sehubungan dengan itu, Kerajaan dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV akan mengadakan dua acara utama sempena Istiadat Pertabalan Baginda. Pada pagi hari Isnin, 24 April 2017 Istiadat Pertabalan akan diadakan bertempat di Balairung Seri, Istana Negara manakala pada sebelah malamnya Majlis Santapan Diraja akan diadakan bertempat di Dewan Santapan, Istana Negara. Di samping itu, dua acara lain turut diadakan iaitu Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat akan diadakan pada hari Khamis, 20 April 2017 di Masjid Putra, Putrajaya dan Pameran Raja Kita akan diadakan pada hari Selasa, 2 Mei 2017 di Muzium Diraja (Istana Negara Lama).

 

3.      Adalah dimaklumkan bahawa Kerajaan telah memutuskan supaya Hari Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V pada Isnin, 24 April 2017 diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara.

 

4.      Pengisytiharan hari kelepasan am tambahan ini dibuat berdasarkan seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369] bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Manakala bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan-kerajaan negeri yang berkenaan telah diminta mengambil tindakan mengikut undang-undang negeri masing-masing.

 

(TAN SRI DR. ALI BIN HAMSA)

  Ketua Setiausaha Negara

        3 April 2017