Media Statements


24/03/2017 - Pelantikan Ketua Pengarah Kastam Malaysia Jabatan Kastam DiRaja Malaysia

 

 

Sukacita saya ingin memaklumkan pelantikan YBhg. Dato’ Subromaniam a/l Tholasy sebagai Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Kementerian Kewangan mulai 24 Mac 2017 bagi menggantikan YBhg. Dato’ Sri Khazali Haji Ahmad.

 

2.      YBhg. Dato’ Subromaniam a/l Tholasy, 58 tahun, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik Nuklear (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari University of New Hampshire, Amerika Syarikat. Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 33 tahun apabila mula menyertai perkhidmatan Penguasa Kastam pada 29 Julai 1984. Beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan pentadbiran, pengurusan cukai dan penguatkuasaan menerusi karier perkhidmatan di antaranya sebagai:

 

·        Ketua Penolong Pengarah Kastam, Cawangan Siasatan, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia;

·        Pengarah Kastam Siasatan, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia; dan

·        Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pematuhan/ Penguatkuasaan), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia.

 

3.      Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh YBhg. Dato’ Subromaniam a/l Tholasy akan membolehkan beliau melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan dan mampu meneruskan visi Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan kastam bertaraf dunia.

 

4.      Pada masa yang sama, bagi pihak Kerajaan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Sri Khazali Haji Ahmad di atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada Perkhidmatan Awam dan negara selama lebih 36 tahun.

 

 

 

      TAN SRI DR. ALI BIN HAMSA

        Ketua Setiausaha Negara

                  24 Mac 2017