Media Statements


20/02/2017 - Pelantikan Ketua Audit Negara

Pelantikan Ketua Audit Negara

 

Adalah dimaklumkan bahawa berdasarkan Fasal (1) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat YAB Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan YBhg. Tan Sri Dr. Madinah binti Mohamad, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan sebagai Ketua Audit Negara untuk tempoh 2 tahun mulai 23 Februari 2017 hingga
22 Februari 2019. 
Pelantikan ini adalah bagi menggantikan YBhg. Tan Sri Haji Ambrin bin Buang yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 22 Februari 2017.

 

2.           YBhg. Tan Sri Dr. Madinah binti Mohamad, 60 tahun, berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia, Sarjana Sains dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia masing-masing dari Universiti Putra Malaysia. Beliau merupakan bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan juga bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan sebelum bersara wajib pada 3 September 2016.

 

 

3.           Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Tan Sri Haji Ambrin bin Buang di atas segala khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Audit Negara sejak 23 Februari 2006 khususnya dalam usaha-usaha mentransformasikan dan menstrukturkan semula sistem pengauditan Kerajaan serta mengukuhkan sistem pengurusan kewangan Kerajaan.

 

 

 

 

 

TAN SRI DR. ALI BIN HAMSA

Ketua Setiausaha Negara

 

       20  Februari 2017.